Diet Sihat: Pelaburan yang Berbaloi

Posted by

Bagi kita yang masih mempunyai kesihatan yang baik, kita perlu beringat mengenai masa depan dan mula melabur dalam gaya hidup yang boleh membantu memastikan kesihatan yang baik untuk jangka masa panjang.

Mulakan dengan memantau diet kita setiap hari. Bukan mudah nak berdiet ni. Tambah-tambah banyak lambakan makanan proses di pasaran sekarang. Ditambah pula dengan kekangan masa bekerja. Tetapi itu semua tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat. Jika tidak dapat mengambil makan seimbang, melaburlah sedikit untuk mengambil supplement bagi melengkapkan keperluan nutrisi harian kita.

Panduan diet:

* Pilih makanan rendah lemak.

HADKAN pengambilan makanan yang tinggi kandungan lemak serta kurangkan lemak dan minyak di dalam penyediaan makanan.

Kurangkan pengambilan makanan bergoreng dan daging organ. Hadkan minyak kelapa, santan, minyak sapi, mentega dan marjerin serta lelemak yang diperbuat daripada lemak berhidrogen yang boleh meningkatkan paras kolesterol.

Kurangkan hidangan yang menggunakan minyak dan lemak berlebihan seperti nasi goreng, nasi minyak dan sambal tumis.

* Pilih makanan dan minuman kurang manis.

AMALKAN pengambilan makanan dan minuman yang rendah kandungan gula. Kurangkan pengambilan produk yang mempunyai gula sebagai bahan teratas di dalam senarai bahan ramuan mereka.

Gantikan pencuci mulut yang manis dengan pilihan yang lebih sihat seperti buah-buahan. Minumlah air kosong dan bukannya minuman ringan, sirap dan kordial. Minta minuman yang `kurang manis' apabila minum di luar.

* Pilih makanan yang kurang masin misalnya penyediaan makanan yang kurang garam dan sos.

GUNAKAN herba dan perasa semula jadi seperti bawang putih, bawang, serbuk kari, lada hitam, serai, cuka dan lemon untuk dijadikan perisa makanan.

Pilih produk yang dilabel sebagai kurang atau rendah garam (natrium). Jangan tambah garam jika sudah menggunakan sos masin dan bahan perasa seperti monosodium glutamate (MSG), sos tiram, belacan dan cincaluk.

Kurangkan pengambilan makanan masin seperti ikan masin, telur masin, sayuran masin serta snek yang mengandungi garam yang banyak.

* Pilih makanan yang berserat tinggi.

KEBANYAKAN makanan berserat mengandungi antioksidan yang membantu melindungi daripada penyakit. Nikmati produk bijirin penuh atau mil penuh seperti bijirin sarapan diperkukuh, beras perang atau spageti gandum penuh pada setiap waktu makan.

Tambahkan kekacang, barli, oat atau dal ke dalam masakan anda.

* Pilih buah-buahan dan sayuran.

BUAH-BUAHAN dan sayur-sayuran membekalkan banyak sumber vitamin, mineral dan fitokimia yang boleh membantu mengurangkan risiko penyakit tertentu.

Ambil tiga hidangan sayur-sayuran dan dua hidangan buah-buahan setiap hari. Makan buahbuahan dengan kulit serta biji yang boleh dicerna seperti jambu, pear, epal, prun dan beri yang tinggi kandungan serat.

* Pilih makanan yang berkalsium tinggi.

SUSU dan produk susu adalah penting untuk tulang yang sihat. Ambil susu dan produk susu setiap hari. Tambah susu dalam minuman dan bijirin sarapan anda.

Tingkatkan pengambilan kalsium anda dengan mengambil sardin, ikan bilis, dan sayur-sayuran berkalsium tinggi seperti brokoli, kacang panjang atau buncis.

Kesihatan memerlukan konsep gaya hidup yang menyeluruh. Oleh itu, di samping makan secara sihat, raikan kehidupan anda dengan aktiviti fizikal harian.

Cuba berhenti merokok dan minum minuman beralkohol. Tubuh anda pasti akan menghargainya.






Blog, Updated at: Wednesday, March 19, 2014

0 comments:

Post a Comment